Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA kasih jari anak yatim BERJAYA MENCAPAI 149 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI

61  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0372.
Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Ketika seseorang berjalan di suatu jalan; kemudian di menjumpainya sepotong duri di jalan itu, lalu dibuangnya, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya. Sesudah itu beliau bersabda. pula: "Yang disebut mati syahid itu ada lima macam: 1. Orang mati kena tikam. 2. Orang mati kerana sakit perut (kolera?) 3. Orang mati tenggelam. 4. Orang mati ditimpa tanah longsor (runtuh). 5. Orang yang mati fi sabilillah (mati di medan perang kerana berjuang menegakkan Agama Allah). Kalaulah manusia tahu keutamaan azan dan saf pertama solat berjemaah, tetapi mereka tidak mungkin mendapatkannya kecuali hanya dengan jalan diundi, nescaya mereka akan mahu diundi untuk mendapatkannya. Kalaulah mereka tahu keutamaan solat Zohor (dilakukan tepat pada awal waktu), pastilah mereka akan berlumba-lumba melaksanakannya. Dan kalaulah mereka mengetahui keutamaan solat Isyak dan solat Subuh (dengan berjemaah), pastilah mereka akan memerlukan datang (ke masjid), sekalipun mereka akan merangkak."

62  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 2028.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Nabi saw. bersabda: " Dua kalimat yang amat dikasihi Tuhan Yang Pemurah, ringan disebut lidah dan berat timbangannya (pahalanya) iaitu: "Maha Suci Allah dan dengan kemuliaanNya , Maha Suci Allah yang Maha Besar."

63  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0354.
Berita dari Malik bin Huwairits r.a. mengatakan: "Aku datang kepada Nabi saw. bersama-sama dengan kaum ku, dan kami tinggal bersama Nabi selama 20 hari. Beliau sangat penyayang dan belas kasihan kepada kami. Maka ketika beliau melihat kami telah sangat rindu kepada keluarga kami, beliau berkata, "Pulanglah, anda semua! Tinggallah bersama keluarga anda. Ajarkanlah agama kepada mereka dan solatlah. Jika telah tiba waktu solat, maka azanlah lebih dahulu salah seorang di antara kamu, kemudian jadikanlah yang tertua di antara kamu menjadi imam."

64  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1299.
Dari Anas r.a., katanya: Nabi s.a.w. tiada pernah masuk ke dalam rumah perempuan di Madinah, selain rumah isteri-isteri beliau, kecuali rumah Ummu Sulaim. Orang bertanya kepada beliau. Jawabnya: "Saya kasihan kepada Ummu Sulaim, kerana saudaranya terbunuh dekat saya dalam peperangan".

65  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1180.
Dari Abdullah bin Abbas r.a., katanya: Saya selalu ingin bertanya kepada Umar r.a. tentang dua orang isteri Nabi s.a.w, yang Tuhan telah berfirman tentang mereka berdua: "Jikalau engkau berdua bertaubat kepada Tuhan, maka memang hati mu telah cenderung untuk melakukan hal itu" (At-Tahrim, 4), sampai pada suatu kali ia pergi naik haji dan saya juga ikut naik haji dengannya. Ketika kami sedang dalam perjalanan, Umar menyimpang dan saya pun ikut menyimpang sambil membawa sebuah tempat air. Lalu ia buang air. Kemudian ia datang kepada saya, lalu saya tuangkan air ke tangannya dan ia pun berwuduk'. Saya berkata: "Ya Amirul Mu'minin! Siapakah dua orang isteri Nabi s.a.w. yang disebutkan oleh Allah dalam ayat: "Jika engkau berdua bertaubat kepada Tuhan maka memang hati mu telah cenderung untuk melakukan hal itu?" Umar menjawab: "Anda sangat hairan tentang hal ini, hai Ibnu Abas! Mereka itu adalah Aisyah dan Hafsah." Kemudian Umar melanjutkan ceritanya: Dia berkata: "Saya tinggal di kampung Umayyah bin Zaid dipinggir tepi kota Madinah. saya mempunyai tetangga seorang Ansar kami berganti-ganti pergi kepada Rasulullah s.a.w. Suatu hari ia pergi dan hari berikutnya saya pergi. Kalau ia yang pergi ia menceritakan kepada saya tentang wahyu yang turun dan berita-berita lain. Demikian pula keadaannya kalau saya yang pergi."Kami orang Quraisy adalah golongan yang berkuasa atas wanita. Ketika kami datang ke Madinah kami dapati orang-orang di sana sangat dikuasai wanita. Maka mulailah para wanita kami belajar dari wanita mereka. Pada suatu hari saya marah kepada perempuan saya, Lalu ia mulai menjawab perkataan saya. Saya berkata bahawa tidak boleh wanita membantah perkataan suaminya, Isteri saya menjawab: "Apakah saya tidak boleh menjawab perkataan mu? Demi Allah, para Isteri Nabi saw. sendiri menjawab perkataan Nabi. Malah ada salah seorang daripadanya yang tidak mahu mendekat kepada beliau dari siang hari sampai malamnya." Saya terus ke luar rumah dan terus pergi ke rumah Hafsah. Saya berkata kepadanya: "Apakah kamu berani menjawab perkataan Rasul s.a.w"?" Ia menjawab: "Ya!" "Dan ada salah seorang dan kamu yang sampai tidak mengindahkan beliau dari siang hari sampai malamnya?" Jawabnya: "Ya!" "Siapa yang melakukan hal itu di antara kamu, sesungguhnya telah celaka dan merugi. Apakah di antara kamu ada yang merasa tenteram dimarahi Allah kerana Rasulullah s.a.w. marah kepadanya? Orang yang seperti itu sebenarnya telah hancur. Janganlah kamu menentang perkataan Rasulullah s.a.w. dan jangan kamu minta apa-apa kepadanya. Kalau engkau perlu apa-apa mintalah wang kepada ku. Janganlah engkau merasa sakit hati seandainya tetangga mu (maksudnya Aisyah r.a.) lebih cantik dari mu dan lebih dicintai oleh Rasulullah s.a.w." Di waktu itu kami berbincang-bincang bahawa orang Ghassan sedang mempersiapkan kuda-kudanya untuk menyerang kami. Maka pada suatu hari tetangga saya pergi kepada Rasulullah s.a.w. dan ia kembali pada waktu malam. Ia mengetuk pintu saya keras-keras dan memanggil nama saya. Saya pergi ke luar, untuk menemuinya. Ia berkata: "Ada suatu peristiwa penting terjadi." Saya bertanya: "Apakah yang telah terjadi? Apakah orang Ghassan telah menyerang?" Ia menjawab: "Jauh lebih penting dari itu. Rasulullah s.a.w. telah menceraikan isteri-isterinya." Saya berkata: "Hancur dan rugilah Hafsah! Saya telah menduga bahawa hal ini akan terjadi." Saya pun berpakaian dan berangkat. Saya solat Subuh bersama s.a.w. Setelah selesai solat beliau masuk ke kamar khusus dan menyendiri di sana. Saya pun masuk ke dalam rumah Hafsah dan saya dapati ia sedang menangis. Saya bertanya kepadanya: "Apakah kamu semua telah diceraikan Rasulullah s.a.w"?" Ia menjawab: "Saya tidak tahu. Ia sedang menyendiri di kamar makan." Lalu saya ke luar rumah dan pergi ke mimbar masjid. Saya dapati di dekat mimbar itu sejumlah orang sedang duduk-duduk dan sebahagiannya menangis. Saya duduk di tempat itu sebentar. Kemudian saya tidak dapat menahan perasaan saja, maka saya datang ke kamar makan di mana beliau berada. Saya datang kepada seorang pembantu berkulit hitam dan berkata kepadanya. "Tolong mintakan izin Umar hendak masuk," Pembantu itu masuk kemudian ke luar kembali. Ia berkata: "Saya telah menyebutkan nama anda, tetapi beliau diam saja." Kemudian saya bergegas pergi dan duduk bersama orang-orang yang di dekat mimbar. Saya tidak dapat menahan perasaan saya, lalu saya datang sekali lagi kepada pembantu laki-laki hitam itu dan berkata: "Tolong katakan Umar minta izin untuk masuk." Pembantu itu masuk ke dalam lalu ke luar kembali. "Saya telah menyebutkan nama anda, tetapi beliau diam saja." katanya. Lalu saya kembali ke luar dan pergi ke mimbar. Kemudian saya tidak dapat menahan perasaan saya dan pergi sekali lagi kepada pembantu berkulit hitam itu: "Tolong katakan bahawa Umar minta izin untuk masuk." Ia masuk ke dalam, lalu ke luar kembali. "Telah saya sebutkan nama anda, tetapi beliau diam saja." Saya pun bergegas pergi. Tetapi tiba-tiba pembantu itu memanggil saya: "Anda telah diberi izin untuk masuk!" Maka saya pun masuklah dan memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. Saya dapati beliau tidur dengan tangan ditopangkan ke kepala diatas sehelai tikar kasar, sehingga kelihatan bekas tikar itu di sisi beliau. Saya berkata: "Ya Rasulullah s.a.w. Apakah anda telah menceraikan isteri-isteri anda?" Rasul mengangkat kepalanya ke arah saya dan menjawab: "Tidak!" Lalu saya berkata: "Tuhan Maha Besar! Bagaimanakah pendapat engkau, ya Rasulullah? Kita orang Quraisy ini adalah suatu golongan yang berkuasa atas wanita. Sewaktu kita datang ke Madinah, kita dapati mereka itu adalah golongan yang dikuasai oleh wanita." Umar meneruskan ceritanya. Nabi s.a.w, tersenyum. Kemudian saya berkata (Umar meneruskan ceritanya): "Bagaimanakah pendapat tuan ketika saya masuk ke tempat Hafsah dan saya berkata: "Janganlah engkau terpedaya oleh tetangga mu yang lebih cantik dari mu dan lebih dikasihi oleh Nabi (maksudnya Aisyah)?" Beliau tersenyum sekali lagi. Kemudian saya perhatikan keadaan dalam kamar beliau itu. Demi Allah, tidak ada yang menarik perhatian di dalam kamar itu selain dari tiga tempat simpanan air dari kulit. Saya berkata: "Berdoalah anda kepada Tuhan agar Ia memberikan kelapangan kepada ummat anda. Orang-orang Persia dan Romawi telah diberi kelapangan. Kepada mereka diberikan dunia, padahal mereka tiada Tuhan." Ketika itu beliau sedang bertelekan dan beliau bersabda: "Masih ragukah engkau hai anak Khattab? Mereka itu adalah golongan yang dicepatkan mendapatkan keberuntungan hidup di dunia." Saya berkata: "Ya Rasulullah! Tolonglah minta ampunkan saya!" Beliau merasa kesal kerana suatu kejadian, di mana Hafsah menceritakannya kepada Aisyah. Beliau bersabda: "Saya tidak akan masuk ke rumah mereka selama sebulan." Tuhan mencela beliau, kerana beliau terlalu marah kepada mereka. Setelah berlangsung selama dua puluh sembilan hari, beliau masuk ke rumah Aisyah. Aisyah berkata kepada beliau: "Tuan bersumpah tiada akan masuk ke rumah kami selama satu bulan. Menurut perhitungan saya, baru dua puluh sembilan hari." Nabi menjawab: "Bulan ini dua puluh sembilan hari!" Dan memang pada waktu itu bulan adalah dua puluh sembilan hari. Aisyah berkata: "Maka turunlah ayat pilihan (takhyir). Pertama-lama beliau mulai dengan saya. Beliau berkata: "Saya ingin mengingatkan kepada mu satu hal. Kamu tidak perlu menjawabnya sekarang juga. Kamu boleh bermusyawarat dahulu dengan kedua orang ibu-bapa mu." Aisyah menjawab: "Saya tahu bahawa kedua orang ibu-bapa saya belum pernah menyuruh saya agar bercerai atau berpisah dengan tuan. Kemudian beliau bersabda: "Sesungguhnya Tuhan telah berfirman: "Hai Nabi! Katakanlah kepada para isteri mu: Kalau kamu semuanya menghendaki kehidupan dunia dan kemewahannya, maka marilah saya akan memberikan kesenangan kepada kamu dan saya akan melepaskan atau menceraikan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. Tetapi jikalau kamu menghendaki Allah dan RasulNya serta kampung akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan untuk wanita-wanita yang berbuat baik di antara kamu pahala yang amat besar (Surat al-Ahzab. 28 - 29). Saya menjawab: "Apakah dalam hal ini saya harus bermusyawarat dengan ibu-bapa saya? Saya menghendaki Tuhan, RasulNya dan kampung akhirat." Kemudian beliau memberikan kebebasan memilih ini kepada semua isteri beliau. Semuanya menjawab sama dengan jawaban Aisyah.

66  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0005.
Ibnu Abbas r.a. mengatakan bahawa Abu Sufyan bin Harb bercerita kepadanya, bahawa Heraelius berkirim surat kepada Abu Sufyan menyuruh ia datang ke Syam bersama khalifah saudagar Quraisy. Waktu itu Rasulullah saw. sedang dalam perjanjian damai dengan Abu Sufyan dan dengan orang-orang kafir Quraisy. Mereka datang menghadap Heraelius di Ilia terus masuk ke dalam majlisnya, dihadapi oleh pembesar-pembesar Rumawi. Kemudian Heraelius memanggil orang-orang Quraisy itu beserta Jurubahasanya. Heraelius berkata, Siapa di antara Anda yang paling dekat hubungan kekeluargaannya dengan laki-laki yang mengaku dirinya Nabi itu?" Jawab Abu Sufyan. "Saya ! Saya keluarga terdekat dengannya." Berkata Heraelius (kepada jurubahasanya), "Suruh dekat dekatlah dia kepada ku. Dan suruh pula para sahabatnya duduk di belakangnya." Kemudian berkata Heraelius kepada Jurubahasanya, "Katakan kepada mereka bahawa saya akan bertanya kepada orang ini (Abu Sufyan). Jika dia berdusta, suruhlah mereka mengatakan bahawa dia dusta." Pertanyaannya yang pertama, "Bagaimanakah turunannya di kalanganmu?" Aku jawab, "Dia turunan bangsawan di kalangan kami." Heraelius, "Pernahkah orang lain sebelumnya mengumandangkan apa yang telah dikumandangkannya?" Jawab ku, "Tidak pernah." Heraelius, "Adakah di antara nenek moyangnya yang menjadi raja?" Jawab ku, "Tidak!" Heraelius, "Apakah pengikutnya terdiri dari orang-orang mulia ataukah orang-orang biasa?" Jawab ku, "Hanya terdiri dari orang-orang biasa." Heraelius, "Apakah pengikutnya semakin bertambah atau berkurang?" Heraelius, "Adakah di antara mereka yang murtad, kerana mereka benci kepada agama yang dipeluknya itu?" Jawab ku, "Tidak!" Heraelius, "Apakah kamu menaruh curiga kepadanya dia berdusta sebelum dia mengumandangkan ucapan yang diucapkannya sekarang? Jawab ku, "Tidak!" Heraelius, "Pernahkah dia melanggar janji?" Jawab ku, "Tidak! Dan sekarang, kami sedang dalam perjanjian damai dengan dia. Kami tidak tahu apa yang akan diperbuatnya dengan perjanjian itu." Kata Abu Sufyan menambahkan, "Tidak dapat aku menambahkan kalimat lain agak sedikit pun selain kalimat itu." Heraelius, "Pernahkah kamu berperang dengannya?" Jawab ku, "Pernah." Heraelius, "Bagaimana peperanganmu itu?" Jawab ku, "Kami kalah dan menang silih berganti. Dikalahkannya kami dan kami kalahkan pula dia." Heraelius, "Apakah yang diperintahkannya kepada kamu sekalian?" Kata Heraelius kepada jurubahasanya, "Katakan kepadanya (Abu Sufyan), saya tanyakan kepada mu tentang turunannya (Muhammad), kamu jawab dia bangsawan tinggi. Begitulah Rasul-rasul yang terdahulu, diutus dari kalangan bangsawan tinggi kaumnya." Saya tanyakan, "Adakah salah seorang di antara kamu yang pernah mengumandangkan ucapan sebagai yang diucapkannya sekarang?" Jawabmu, "Tidak!" Kalau ada seseorang yang pernah, mengumandangkan ucapan yang diucapkannya sekarang, nescaya aku katakan, "Dia meniru-niru ucapan yang diucapkan orang dahulu itu." Saya tanyakan, "Adakah di antara nenek moyangnya yang jadi raja?" Jawabmu, "Tidak ada!" Kalau ada di antara nenek moyangnya yang menjadi raja, nescaya ku katakan, "Dia hendak menuntut kembali kerajaan nenek moyangnya." Saya tanyakan, "Adakah kamu menaruh curiga kepadanya bahawa ia dusta, sebelum ia mengucapkan apa yang diucapkannya sekarang?" Jawabmu, "Tidak!" Saya yakin, dia tidak akan berdusta, terhadap manusia apa lagi kepada Allah. Saya tanyakan, "Apakah pengikutnya terdiri dari orang-orang mulia ataukah orang-orang biasa?" Jawabmu, "Orang-orang biasa." Memang, mereka jugalah yang menjadi pengikut Rasul-rasul. Saya tanyakan, "Apakah pengikutnya makin bertambah banyak atau semakin kurang?" Jawabmu, "Mereka bertambah banyak." Begitulah halnya iman hingga sempurna. Saya tanyakan, "Adakah di antara mereka yang murtad kerana benci kepada agama yang dipeluknya, setelah mereka masuk ke dalamnya?" Kamu jawab, "Tidak." Begitulah iman, apabila ia telah berdarah daging sampai ke jantung hati. Saya tanyakan, "Adakah ia melanggar janji?" Kamu jawab, "Tidak." Begitu jugalah segala Rasul-rasul yang terdahulu, mereka tidak suka melanggar janji. Saya tanyakan, "Apakah yang disuruhkannya kepada kamu sekalian?" Kamu jawab, "Ia menyuruh menyembah Allah semata-mata, dan melarang mempersekutukanNya. Dilarangnya pula menyembah berhala, disuruhnya menegakkan solat, berlaku jujur dan sopan (teguh hati)." Jika yang kamu terangkan itu betul , semuanya, nescaya dia akan memerintah sampai ke tempat aku berpijak di kedua telapak kaki ku ini. Sesungguhnya aku telah tahu bahawa ia akan lahir. Tetapi aku tidak mengira bahawa dia akan lahir di antara kamu sekalian. Sekiranya aku yakin akan dapat bertemu dengannya, walaupun dengan susah payah aku akan berusaha datang menemuinya. Kalau aku telah berada di dekatnya, akan ku cuci kedua telapak kakinya. Kemudian Heraelius meminta surat Rasulullah saw. yang diantarkan oleh Dihyah kepada pembesar negeri Bushra, yang kemudian diteruskannya kepada Heraelius. Lalu dibacanya surat itu, yang isinya sebagai berikut: "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad, Hamba Allah dan Rasul-Nya. Kepada Heraelius, Kaisar Rumawi. Kesejahteraan kiranya untuk orang yang mengikut petunjuk. Kemudian, sesungguhnya saya mengajak Anda memenuhi panggilan Islam. Islamlah! Pasti Anda selamat. Dan Allah akan memberi pahala Anda dua kali lipat. Tetapi jika anda enggan, nescaya anda menanggung dosa seluruh rakyat. Hai, Ahli Kitab! Marilah kita dalam satu kalimah prinsip sama antara kita, iaitu supaya tidak menyembah kecuali hanya kepada Allah, dan jangan mempersekutukan-Nya dengan suatu apa pun. Dan janganlah sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain menjadi Tuhan selain daripada Allah. Apabila Anda enggan menuruti ajakan ini, akuilah bahawa kami ini Muslim! Kata Abu Sufyan, "Selesai ia mengucapkan perkataannya dan membaca surat itu, ruangan menjadi heboh dan hiruk pikuk; kami pun disuruh orang keluar. Sampai di luar, aku berkata kepada kawan. "Sungguh menjadi masalah besar urusan Anak Abu Kabsyah. Sehingga raja bangsa kulit kuning itu pun takut kepadanya. Aku yakin, Muhammad pasti menang hingga oleh kerananya Allah memasukkan Islam ke dalam hatiku." Ibnu Nathur, pembesar negeri Ilia, sahabat Heraelius dan Uskup(kepala pendeta) Nasrani di Syam, dia menceritakan, "Ketika Heraelius datang ke Ilia, ternyata fikirannya sedang kacau. Oleh sebab itu banyak di antara para pendeta yang berkata: "Kami sangat hairan melihat sikap Anda." Selanjutnya kata Ibnu Nathur, "Heraelius adalah seorang ahli nujum yang selalu memperhatikan perjalanan bintang- bintang. Dia pernah menjawab pertanyaan para pendeta yang bertanya kepadanya. Pada suatu malam ketika saya mengamati perjalanan bintang-bintang, saya melihat Raja Khithan telah lahir. Siapakah di antara umat ini yang telah dikhatan?" Jawab para pendeta itu. "Yang berkhatan hanyalah orang Yahudi. Janganlah Anda risau kerana orang Yahudi itu. Perintahkan saja ke seluruh negeri dalam kerajaan Anda, supaya orang-orang Yahudi di negeri itu dibunuh." Ketika itu dihadapkan kepada Heraelius seorang utusan Raja Bani Ghassan untuk menceritakan perihal Rasulullah saw. Setelah orang itu selesai bercerita, lalu Heraelius memerintahkan agar dia diperiksa, apakah dia berkhatan atau tidak. Setelah diperiksa, ternyata memang dia berkhatan. Lalu diberitahukan orang kepada Heraelius. Heraelius bertanya kepada orang itu tentang orang-orang Arab lainnya, "Dikhatankah mereka atau tidak?" Jawabnya, "Orang-orang Arab itu dikhatan semuanya." Heraelius berkata, "Inilah raja umat. Sesungguhnya dia telah lahir." Kemudian Heraelius berkirim surat kepada seorang sahabatnya di Rome, yang ilmunya setaraf dengan Heraelius (menceritakan tentang kelahiran Nabi Muhammad saw.). Dan sementara itu ia meneruskan perjalanannya ke negeri Hims. Tetapi sebelum dia sampai di Hims, balasan surat dari sahabatnya itu telah tiba lebih dahulu. Sahabatnya itu menyetujui pendapat Heraelius bahawa Muhammad telah lahir dan beliau memang seorang Nabi. Heraelius mengundang para pembesar Rome supaya datang ke tempatnya di Hims. Setelah semuanya hadir dalam majlisnya, Heraelius memerintahkan supaya mengunci setiap pintu. Kemudian dia berkata, "Wahai, bangsa Rome! Mahukah Anda semua beroleh kemenangan dan kemajuan yang gilang gemilang, sedangkan kerajaan tetap utuh di tangan kita? Kalau mahu, akuilah Muhammad itu sebagai Nabi!" Mendengar ucapan itu mereka lari bagaikan keldai melihat keadaan demikian, padahal semua pintu telah terkunci. Heraelius jadi putus harapan yang mereka akan iman (percaya kepada Nabi Muhammad saw.). Lalu diperitahkannya supaya mereka kembali ke tempat mereka masing-masing seraya berkata, "Sesungguhnya saya mengucapkan perkataan saya tadi, hanya sekedar menguji keteguhan hati Anda semua. Kini saya telah melihat keteguhan itu. Lalu mereka sujud di hadapan Heraelius dan mereka senang kepadanya. Demikianlah akhir kisah Heraelius.

67  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0368.
Abu Hurairah r.a. memberitakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "solat seseorang dengan berjemaah, pahalanya berlipat ganda daripada solatnya seorang diri di rumahnya atau di pasar, dua puluh lima kali ganda. Sebabnya ialah, kerana apabila seseorang berwuduk, kemudian disempurnakannya wuduknya itu, lalu dia pergi ke masjid dengan niat hanya untuk menunaikan solat, maka tidak satu langkah pun langkah yang dilangkahkannya, melainkan ditinggikan Allah darjatnya satu tingkat untuk setiap langkah, dan dihapuskan pula kesalahannya. Apabila dia telah solat, maka malaikat sentiasa mendoakannya selama dia masih berada di tempatnya solat, katanya: "Wahai, Allah! Limpahkan kepadanya kebaikan dan kasihilah dia!" Dan seseorang kamu sentiasa dianggap seperti dalam solat selama dia menunggu-nunggu waktu solat."

68  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1815.
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: Tujuh golongan dilindungi Allah di bawah lindunganNya, waktu tidak ada lindungan selain lindungan-Nya: 1. Imam (Kepala Pemerintahan) yang adil. 2. Pemuda yang dalam masa mudanya beribadat kepada Allah. 3. Orang yang menyebut (mengingati) Allah ketika sendirian, lalu menitis air matanya. 4. Laki-laki yang tergantung hatinya di masjid (beribadat). 5. Orang yang berkasih sayang kerana Allah semata-mata. 6. Laki-laki yang dirayu oleh seorang perempuan bangsawan cantik, tetapi dia mengatakan (menolak): "Sesunguhnya saya takut kepada Allah." 7. Orang yang bersedekah dan disembunyikannya, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat (diberikan) oleh tangan kanannya.

69  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1148.
Dari Ibnu 'Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Semoga Allah mengasihi Ibu Ismail, kalau ia membiarkan sumur Zamzam." Atau Nabi bersabda: "Kalau tidaklah ia menyauk air sumur Zamzam, tentulah sumur itu akan menjadi mata air yang mengalir. Lalu akan datang orang dari suku Jurhum berkata: "Izinkanlah kami tinggal di sebelahmu." Ibu Ismail menjawab: "Boleh, tetapi kamu tidak berhak atas air" Mereka menjawab: "Baiklah!"

70  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0784.
Dari Nafi', dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Rasulullah saw. mewajibkan zakat fitrah (atau beliau mengatakan: zakat ramadhan) kepada laki-laki dan perempuan merdeka dan hamba sahaya, segantang kurma atau segantang gandum. Kemudian orang banyak menyamakan segantang gandum itu dengan setengah gantang bur (gandum yang baik). Ibnu Umar pernah memberikan kurma untuk membayar zakat fitrahnya. Pada suatu ketika orang-orang Madinah sulit untuk memperoleh kurma, lantas dibayarnya dengan gandum. Ibnu Umar membayar zakat fitrah untuk anak-anak dan orang dewasa. Sehingga jika ada, anak-anak saya pun dibayarkannya. Biasanya Ibnu Umar membayarkannya langsung kepada orang yang berhak menerimanya. Dan biasanya pula, orang banyak membayarkannya satu atau dua hari sebelum Aidilfitri."